Keanggotaan

Keanggotaan Koperasi ini terbuka kepada semua Anak Melayu Selangor. Menurut seksyen 26 dan 27 Akta, seseorang yang ingin menjadi anggota Koperasi ini mestilah :-

  1. warganegara Malaysia;
  2. telah mencapai umur lapan belas tahun;
  3. bukan seorang yang terhadapnya masih berkuatkuasa suatu sabitan bagi kesalahan boleh daftar, atau tidak upaya dari segi mental, atau bankrap yang belum dilepaskan, atau pernah dibuang daripada keanggotaan mana-mana koperasi dalam tempoh satu tahun.

 

FI MASUK (Undang-undang Kecil 12(1)

Tiap-tiap permohonan menjadi anggota hendaklah disertakan dengan fi masuk sebanyak lima puluh ringgit. Fi masuk itu menurut perenggan 50(a) Akta akan dikembalikan kepada pemohon jika permohonannya ditolak oleh Lembaga.

 

PEROLEHAN HAK, KEWAJIPAN & LIABILITI ANGGOTA (Undang-undang Kecil 16)

Menurut seksyen 28 Akta, tiap-tiap anggota yang telah menjelaskan bayaran penuh satu ribu ringgit syer bolehlah melaksanakan segala hak, kewajipan dan liabiliti sebagai seorang anggota sebagaimana yang terkandung di dalam Undang-undang Kecil ini.

 

PENAMA (Undang-undang Kecil 18)

Tiap-tiap anggota hendaklah mengisi satu borang rasmi Koperasi ini, dihadapan dua saksi yang mengakusaksi perkara yang sama atau suatu akuan yang dibuat sewajarnya, menamakan seorang wasi dari kalangan waris-waris terdekat yang mutlak tassarrufnya untuk menerima setelah dia mati wang-wang yang terhak baginya di dalam Koperasi ini bagi diagihkan kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum Islam dan hendaklah memberitahu Koperasi akan perubahan-perubahan, jika ada, mengenai penamaan itu. Dalam hal-hal sedemikian, nilai syer atau kepentingan anggota itu hendaklah sama dengan jumlah wang yang sebenarnya dibayar oleh anggota itu untuk memperolehi syer atau kepentingan tersebut itu sebagaimana yang dinyatakan di bawah subperaturan 7(1) Peraturan.

 

MENARIK DIRI (Undang-undang Kecil 22)

  1. Seseorang anggota boleh menarik diri daripada Koperasi ini dengan memberi notis bertulis dua belas bulan terlebih dahulu kepada Lembaga. Atas sebab-sebab yang munasabah, Lembaga boleh membenarkan penarikan diri dalam masa yang singkat.
  2. Melainkan tarikh lebih awal dipersetujui oleh Lembaga, maka keanggotaan anggota itu hendaklah terhenti hanya pada hari genap tempoh notisnya.
  3. Dalam tempoh notis itu, anggota yang demikian hendaklah masih mempunyai hak, kewajipan dan liabiliti sebagai seorang anggota.

© KOSAS Berhad © 2017